Petronas 50 Years

50th Anniversary

As published in Berita Harian,
Monday, 16 September 2024

Melakar 50 tahun masa depan bersama

Logo ikonik PETRONAS telah dilancarkan pada 1989 oleh mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tun Azizan Zainul Abidin (kiri) dan mantan Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Basir Ismail.

KISAH kejayaan yang bermula dengan kesederhanaan tak lapuk dek zaman. Begitulah jua yang ditempa syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS yang meniti usia 50 tahun penubuhannya.

Diwujudkan ketika berdepan krisis dunia, dari mula bertatih hinggalah kematangan yang dikecapi kini, setiap susur galurnya membawa pengajaran dan pertumbuhan yang signifikan, hingga mengukuhkan daya tahannya.

Semuanya bermula daripada krisis minyak global 1973 yang melanda, Malaysia sebagai negara pengeluar, menyedari keperluan untuk mengukuhkan lagi kawalan ke atas sumber petroleumnya, mengelak daripada kebergantungan sepenuhnya kepada syarikat minyak asing.

Kemudian, tibalah misi penting demi sumber-sumber ini dan Petroliam Nasional atau PETRONAS terilham untuk melaksanakan amanah pengurusan penuh dan teratur industri petroleum Malaysia untuk menambah nilai kepada sumber negara.

Penubuhan awal PETRONAS terdiri daripada kalangan bekas penjawat awam, golongan yang amatur dalam perniagaan minyak yang bersaing dengan perintis gergasi industri minyak multinasional dengan peruntukan hanya RM2 juta.

Tiada sesiapa pun menyangka, kini PETRONAS bergelar sebuah konglomerat yang tersenarai di FORTUNE Global 500 dan menjadi kebanggaan negara hari ini.

Diperbadankan di bawah Akta Syarikat pada 17 Ogos 1974, PETRONAS telah diberikan identiti komersial dengan tujuan yang jelas untuk dikemudikan secara komersial dan berfungsi sebagai entiti perniagaan.

Ia juga ditubuhkan untuk menyumbang kepada Dasar Ekonomi Baru ketika itu, iaitu usaha Kerajaan dalam menyusun semula ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat pelbagai kaum, khususnya memartabatkan golongan Bumiputera.

Lantaran itu, PETRONAS telah diberi hak pemilikan dan kawalan ke atas sumber petroleum negara oleh Akta Parlimen, iaitu Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974, termasuk hak eksklusif, kuasa, kebebasan dan keistimewaan.

Penggubalan PDA 1974 dikatakan penuh berliku. Semuanya masih mentah dalam selok-belok pengurusan dan sedar akan cabaran yang lebih besar.

Bahkan, pasukan kecil PETRONAS yang masih setahun jagung mempamerkan kecekalan mendukung mandat dan tidak gentar ke meja rundingan bersemuka dengan syarikat minyak asing.

Yakni membuktikan nekad PETRONAS bangkit dalam krisis itu dan sedia untuk berjuang. Di sinilah sejarah tercipta.



Membuka jalan ke arah kemajuan gemilang

Hari ini, PETRONAS telah berkembang menjadi sebuah syarikat tenaga global dengan operasi di lebih 100 negara dan tenaga kerja lebih daripada 50,000 orang.

Perjalanannya selama 50 tahun setakat ini dipenuhi sorotan pencapaian transformatif dan cabaran yang saksama, keduaduanya membentuk evolusi dan menentukan warisan PETRONAS.

Salah satu detik penting ialah penemuan medan minyak Dulang pada 1981. Pencapaian ini bukan sahaja melonjakkan kedudukan Malaysia, tetapi juga mencetuskan gelombang pertumbuhan yang melangkaui hasil minyak kepada masyarakat.

Ia juga membuka peluang pekerjaan, membina infrastruktur dan meletakkan asas yang kukuh untuk kepelbagaian ekonomi Malaysia.

Dengan permulaan yang sederhana, antaranya membuka stesen minyak pertama di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 1981, melancarkan loji penapisan minyak PETRONAS Penapisan Terengganu Sdn Bhd, di Kerteh, Terengganu pada 1982 dan seterusnya melebarkan sayap dalam perniagaan huluan dan hiliran, setiap langkah yang melancarkan landasan kemajuan PETRONAS.

Pembukaan stesen servis perdana pertama di Taman Tun Dr Ismail menandakan penyertaan PETRONAS dalam segmen peruncitan bahan api domestik.

PETRONAS kini mengendalikan rangkaian stesen minyak terbesar di negara ini, dengan lebih 1,000 stesen, meluas dan menaik taraf perkhidmatannya melangkaui bahan api, menjadikan kehidupan pelanggan lebih mudah dan lebih baik melalui tawaran inovatif, termasuk Setel dan rangkaian luas kedai serbanekanya, Kedai Mesra.

Sejak awal penubuhan, PETRONAS mula menempa nama melalui penerokaan minyak luar pesisir di perairan dalam yang didorong inovasi yang berterusan.

Walaupun agak lewat berkecimpung, banyak pencapaian pertama industri telah dicipta oleh PETRONAS, satu demi satu pencapaian membanggakan dalam membentuk landskap tenaga Sedunia.

Antara lain, PETRONAS adalah syarikat pertama yang membawa gas ke darat di Semenanjung Malaysia, membekalkan loji janakuasa gas yang pertama yang pertama memproses minyak mentah Malaysia dan membina loji LNG usaha sama yang pertama di negara di Bintulu, Sarawak.

Di luar negara pula, PETRONAS telah meneroka minyak di Vietnam, Iraq dan Sudan. PETRONAS juga adalah yang pertama menyaksikan pengeluaran minyak pertama di Sudan untuk eksport dan saluran paip pertamanya merentasi padang pasir yang meletakkan Sudan sebagai negara pengeksport minyak.

Salah satu daripada pencapaian cemerlangnya ialah pembangunan fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) pertama di dunia, iaitu PFLNG Satu pada tahun 2017.

Teknologi revolusi ini membolehkan pengekstrakan, pencairan dan penyimpanan gas asli di laut, membolehkan PETRONAS menembusi medan gas jarak jauh dan sukar untuk dicapai dengan cara yang cekap dan mampan.

PFLNG Satu bukan sahaja telah memperkukuh keupayaan tenaga Malaysia tetapi juga meletakkan PETRONAS sebagai peneraju global dalam inovasi LNG.

PETRONAS terus membangunkan teknologi FLNGnya dan menjadi pemilik dan pengendali pertama di dunia bagi dua kemudahan FLNG dengan pengenalan PFLNG Dua pada 2021.

Transformasi PETRONAS diluaskan ke sepanjang rantaian nilainya dengan kilang penapisan pertamanya, PETRONAS Penapisan Terengganu Sdn Bhd.

Ini membawa kepada penubuhan Kompleks Industri Petroleum PETRONAS (PPIC), sebuah hab perindustrian yang menghubungkan keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas.

Disitulah bermulanya perubahan yang membuka kemungkinan baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di Kerteh.

Ia kemudiannya membuka pintu kepada penubuhan kilang penapisan di Melaka pada 1994, sebagai Taman Tenaga Melaka, menguasai salah satu kapasiti penapisan terbesar di negara ini untuk mengeluarkan pelbagai jenis produk petroleum bagi memenuhi permintaan tenaga di luar pasaran domestik, termasuk pengeluaran minyak pelincir yang dijual di lebih 100 negara.

Selain itu, PETRONAS semakin berkembang maju dengan pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor, iaitu pelaburan Hilirannya yang terbesar, membolehkan operasinya lebih bersepadu dan berdaya tahan.

Penyepaduan kemudahan penapisan dan petrokimia dalam PIC membolehkan PETRONAS meningkatkan kapasitinya untuk menyokong keperluan tenaga pelanggannya pada peringkat global.

Ia juga ditetapkan untuk menjadi hab penyelesaian tenaga yang lebih bersih dengan loji kitar semula kimia termaju dan kilang penapisan bio yang dijangka beroperasi masing-masingnya pada 2026 dan 2028.

Loji kitar semula kimia dan kilang penapisan bio ini memberi perkhidmatan kepada pelanggannya di rantau ini dan seterusnya ke seluruh dunia.



Inovasi tanpa had tunjangi visi masa depan PETRONAS

Selama 50 tahun yang lalu, PETRONAS telah benar-benar meletakkan dirinya sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang memperkayakan kehidupan untuk masa depan yang mampan.

Bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi di peringkat persekutuan, tetapi PETRONAS juga telah meningkatkan kualiti hidup dan hasil sosioekonomi melalui bidang tumpuannya dalam pendidikan, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan serta alam sekitar peringkat persekutuan mahu pun negeri.



Mencambah bakat baharu bererti membina negara

Nadi kepada kejayaan PETRONAS adalah komitmennya yang tidak berbelah bahagi dalam memupuk bakat tempatan dan mengembangkan pembangunan modal insan.

Untuk itu, PETRONAS telah memperkasakan generasi rakyat Malaysia untuk merealisasikan potensi penuh mereka dan menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan negara melalui penubuhan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Terengganu pada 1981.

Pusat Kepimpinan PETRONAS (PLC), sebelum ini dikenali sebagai PERMATA, Bangi, Selangor pada 1989, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Tronoh Perak pada 1997, dan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC), Sabah pada 2011.

Institusi-institusi ini berfungsi sebagai inkubator inovasi dan kecemerlangan, menyediakan latihan dan peluang pembangunan bertaraf dunia kepada golongan profesional yang bercita-cita tinggi, merentasi pelbagai disiplin.

Di luar platform ini, PETRONAS juga mengutamakan pembelajaran berterusan, inovasi dan kerjasama melalui program seperti penajaan pendidikan di bawah inisiatif PETRONAS Powering Knowledge, BeDigital Bootcamp, dan Discover PETRONAS @Schools.

Di samping itu, dengan melabur dalam pendidikan, pembangunan kemahiran dan latihan kepimpinan, PETRONAS bukan sahaja membina tenaga kerja yang kuat dan pelbagai, ia memupuk komuniti pelajar dan pemimpin masa depan yang akan memacu kemajuan Malaysia.

Selain pembangunan modal insan, sinergi antara PETRONAS dan Pasukan Formula Satu Mercedes-AMG PETRONAS (MAMGP) menunjukkan usaha ke arah memupuk bakat dalam menapis bahan api dan pelincir yang menyumbang kepada prestasi tinggi Pasukan Formula Satu MAMGP.

Mereka telah membantu untuk merentasi sempadan inovasi dan prestasi dalam dunia perlumbaan Formula Satu yang sangat kompetitif, menjana pasukan ke arah kejuaraan sebanyak lapan kali.

Dengan pemindahan kepakaran dan teknologi, Fluid Technology SolutionsTM PETRONAS telah dibangunkan, menghasilkan bahan api dan pelincir yang memenangi anugerah yang memenuhi keperluan pengguna jalan raya setiap hari.

Ia adalah bukti komitmen PETRONAS untuk memacu inovasi melangkaui litar lumba dalam membentuk masa depan tenaga dan mobiliti, memanfaatkan bakat berkemahiran tinggi.



Sentiasa cekal walaupun sentiasa alami perubahan

Sambutan jubli emas atau separuh abad PETRONAS ini bukan sekadar mengimbas kembali sejauh mana kejayaan syarikat tenaga negara itu, bahkan satu retrospektif yang menjadi pemangkin, memacu PETRONAS ke hadapan atas keupayaannya membayangkan semula landskap tenaga untuk Malaysia dan serantau.

Daripada merintis penerokaan air dalam kepada menerajui inovasi dalam pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui, PETRONAS secara konsisten menembusi sempadan apa-apa jua kemungkinan dalam sektor tenaga.

Kini 50 tahun berlalu, ia sekali lagi diuji dengan satu lagi cabaran yang tidak dapat dielakkan perubahan iklim dan seruan untuk peralihan tenaga yang adil.

Ketika dunia bergelut dengan kesan perubahan iklim di tengah-tengah peningkatan permintaan tenaga, PETRONAS memainkan peranan penting dalam mengimbangi tanggungjawabnya untuk memastikan keselamatan tenaga negara dan menyampaikan tenaga yang boleh dipercayai dan berpatutan, secara bertanggungjawab.

Portfolio tenaga bersepadu PETRONAS yang kukuh membuktikan dedikasinya untuk menghasilkan lebih banyak lagi produk dan kemudahan, di samping kurang melepaskan tenaga.

Komitmen ini lebih daripada sekadar kekal relevan ia mengenai menerima amalan mampan dan memacu perubahan positif, selaras dengan aspirasinya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Dengan seruan untuk perubahan iklim semakin meningkat, ia merupakan isyarat jelas bagi PETRONAS untuk mempercepat strategi peralihan tenaganya, mengalihkan kecekapan puluhan tahun dalam memajukan landskap minyak dan gas kepada keperluan terbesar pada masa ini, iaitu penyelesaian tenaga bersih.

Ia kini berhasrat untuk mengulangi sejarah dalam membangunkan ekosistem tenaga bersih yang teguh untuk berkembang maju pada masa perubahan, sambil mengukuhkan portfolio terasnya bersama-sama rangkaian rakan kongsi dan vendornya dalam memenuhi peningkatan permintaan.

Pembangunan projek Kasawari CO2 Sequestration (CCS) di luar pesisir Sarawak adalah salah satu projek CCS luar pesisir terbesar di dunia.

Projek ini merupakan antara tiga hab CCS serantau di Malaysia, yang menjadi usaha penting untuk memastikan bahawa pengeluaran tenaga dilakukan dengan cara yang bertanggungjawab.

Dalam mengalihkan tumpuannya ke arah tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, PETRONAS juga telah menubuhkan Gentari, sebuah entiti bebas yang bukan sahaja memacu aspirasi tenaga bersihnya, tetapi juga direka untuk mewujudkan pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Gentari memperkasakan pelanggan dan rakan kongsi dalam usaha penyahkarbonan mereka, menyumbang kepada matlamat iklim nasional dan global melalui penyelesaian tenaga bersih berasaskan tiga teras: Tenaga Boleh Diperbaharui, Hidrogen dan Mobiliti Hijau.

Melangkah dari luar perniagaan terasnya, PETRONAS mengembangkan keupayaan hilirannya untuk memasukkan rangkaian produk dan perkhidmatan bukan bahan api yang komprehensif.

Ini termasuk meningkatkan bahagian petrokimianya untuk menghasilkan bahan termaju dan bahan kimia khusus, memenuhi permintaan global yang semakin meningkat dan memupuk kepelbagaian ekonomi.



50 tahun dan masa depan

Walaupun dalam anjakan paradigma ini, pendigitalan menjadi kuasa transformatif dalam PETRONAS.

Syarikat sedang menerajui kemajuan dalam teknologi medan minyak digital, memanfaatkan analisis data masa nyata dan cerapan dipacu AI untuk mengoptimumkan proses pengeluaran, meningkatkan kecekapan operasi dan meminimumkan kesan alam sekitar.

Ringkasnya, untuk 50 tahun akan datang dan seterusnya, akan menyaksikan PETRONAS merebut peluang pertumbuhan baharu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, mobiliti hijau, bahan kimia khusus, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan rantaian nilai berasaskan bio untuk memenuhi permintaan landskap tenaga yang sentiasa berubah.

Sama seperti ketika didorong ke dalam perniagaan minyak dan gas 50 tahun lalu, PETRONAS sekali lagi mengemudi ke dalam bidang yang asing, tetapi mereka kini lebih berpengalaman dan profesional.

Hari ini, dengan pengalaman selama berdekad lamanya ia bersedia dan lebih dilengkapi dengan sumber, infrastruktur sokongan dan kumpulan bakat yang kukuh untuk melabur ke fasa tenaga yang seterusnya.

Sinar matahari yang melimpahi Menara Kembar PETRONAS, bukan sekadar memancarkan cahaya keemasan ke bandar raya Kuala Lumpur, bahkan menerangi visi yang akan dijejaki untuk masa depan.

Kemajuan yang dikecapi ketika ini adalah bukti yang wajar diberikan penghargaan atas kerjasama yang terjalin erat antara kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan Negeri dalam menguruskan sumber negara selama ini.

Visi masa depan yang ditunjangi tenaga mampan, inovasi tanpa had dan terus memimpin dengan tujuan, terlakar dengan penuh terbilang selama 50 tahun yang lalu buat PETRONAS.