Kuala Lumpur, 21 Februari 2024 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sarawak Petchem Sdn. Bhd. (Sarawak Petchem) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk membina loji Ammonia dan Urea berkarbon rendah di Bintulu, Sarawak.
Di bawah terma MoU itu, kedua-dua syarikat akan menjalankan kajian komprehensif bersama dari segi teknikal dan komersial, dengan aspek-aspek yang lain, dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga lestari dengan memanfaatkan potensi tenaga yang boleh diperbaharui di rantau ini.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem YBhg. Dato’ Mohammad Haji Ibrahim bersama Ketua Kewangan & Komersialnya Abdul Razak Ali; manakala PCG diwakili oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Mazuin Ismail dan Ketua Perancangan Strategik & Usaha Niaga, Ir. Yaacob Salim. Majlis tersebut disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg; Pengerusi Sarawak Petchem, YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain; Pengerusi PETRONAS, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh; serta Presiden PETRONAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
“Usahasama untuk mengkaji potensi pembangunan loji Ammonia dan Urea berkarbon rendah berskala dunia amatlah dialu-alukan. Loji ini mempunyai keupayaan pada masa akan datang untuk menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang rendah; ia sememangnya satu inisiatif strategik dalam memanfaatkan peluang pasaran peralihan tenaga global,” kata YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari.
YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz turut menambah, “Kerjasama ini membolehkan kami memanfaatkan sinergi, mengoptimumkan kos, dan berkongsi risiko, justeru memaksimumkan nilai untuk Sarawak dan Malaysia; dan pada masa yang sama menzahirkan amalan perniagaan yang beretika dan pemikiran yang kolaboratif. Inisiatif pembangunan bersama ini berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak, di samping memacu penyediaan peluang pekerjaan dan memupuk pertumbuhan lestari selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
“Kami mengalu-alukan peluang ini untuk bekerjasama dengan Sarawak Petchem, kerana ia mengukuhkan lagi hubungan pekerjaan kami dengan Negeri Sarawak. Ini berpotensi untuk menjadi projek berkarbon rendah pertama bagi PCG dan selaras dengan komitmen untuk memacu transformasi yang lestari dalam rantaian nilai kami. Kerjasama dengan Sarawak Petchem ini bukan sahaja sejajar dengan objektif kelestarian negara dan juga PCG, tetapi juga memudahkan pengembangan kami yang selanjutnya ke dalam pasaran urea di Asia Tenggara. Selain itu, ia memberi peluang untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui daripada Sarawak sambil melengkapkan usaha kami dalam membangunkan kemudahan Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS),” kata Mazuin.
Ammonia berkarbon rendah selalunya digunakan dalam sektor hidrogen dan tenaga untuk pembakaran bersama, “bunkering” dan aplikasi Ammonia lestari pada masa hadapan manakala Urea pula berfungsi terutamanya sebagai baja, bahan mentah untuk resin dalam papan lapis dan pelekat, serta cecair ekzos diesel untuk pengaplikasian automotif.
(Dari kiri) Pengerusi Sarawak Petchem (SP), YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain; Ketua Kewangan & Komersial SP, Abdul Razak Ali; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, YB Datuk (Dr) Haji Hazland Abang Hipni; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki; Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif SP, YBhg. Dato’ Mohammad bin Haji Ibrahim; Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg; Pengerusi PETRONAS, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh; Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail; Presiden PETRONAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik; Ketua Perancangan Strategik & Usaha Niaga PCG, Ir. Yaacob Salim; dan Pengerusi PCG, YBhg. Datuk Ir. (Dr) Abdul Rahim Hashim di majlis menandatangani MOU.
Mengenai Sarawak Petchem Sdn Bhd
Sarawak Petchem merupakan sebuah syarikat yang memiliki dan mengendalikan loji mega-methanol pertama di Sarawak. Loji methanol yang bakal beroperasi bermula daripada suku kedua tahun 2024 tersebut akan berupaya menghasilkan 5,000 MTPA methanol dan menjadikannya syarikat pertama Sarawak yang menceburi perniagaan hiliran minyak dan gas.
Diperbadankan pada tahun 2017, usaha Sarawak Petchem melibatkan diri dalam perniagaan petrokimia berjaya menjadikan Sarawak sebagai sebuah hab petrokimia di rantau ini. Selain menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi minyak dan gas, Sarawak Petchem juga memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan Sarawak menarik pelabur asing untuk melabur di Hab Perindustrian Petchem di Bintulu.
Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain.
Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.
PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)