Media Release

29 · May · 2024
PCG Mencatatkan PAT Lebih Tinggi Sebanyak RM703 Juta Pada 1Q 2024
  • EBITDA sebanyak RM1.2 bilion
  • Margin EBITDA sebanyak 16%

 

Kuala Lumpur, 29 Mei – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM703 juta bagi suku pertama Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2024 berikutan peningkatan jumlah jualan dan margin produk.

 

Peningkatan dalam purata harga produk tertentu pada 1Q 2024 berbanding 4Q 2023 telah dilihat dalam sektor kimia berikutan pemulihan permintaan bermusim di samping kemerosotan industri semasa. Kumpulan mengaitkan peningkatan keuntungan kepada kos operasi yang lebih rendah, penyebaran produk etilena dan aromatik yang lebih tinggi, serta prestasi yang lebih baik daripada segmen kimia khususnya.

 

Sorotan utama 1Q 2024 vs 4Q 2023

 

  • Pendapatan meningkat sebanyak 4% kepada RM7.5 bilion (4Q 2023: RM7.2 bilion) dengan sokongan daripada mata wang USD yang lebih kukuh berbanding MYR dan jumlah yang lebih tinggi daripada Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) melonjak sebanyak 77% kepada RM1.2 bilion (4Q 2023: RM655 juta) disebabkan oleh kos bahan api, tenaga, utiliti dan penyelenggaraan yang lebih rendah, penyebaran produk yang lebih tinggi, sumbangan yang lebih tinggi daripada Kumpulan Perstorp, serta kesan pertukaran asing yang positif. Margin EBITDA pada suku tersebut berkembang kepada 16% (4Q 2023: 9%).
  • Keuntungan Selepas Cukai (PAT) telah meningkat lebih daripada empat kali ganda kepada RM703 juta (4Q 2023: RM142 juta) selaras dengan EBITDA yang lebih tinggi dan keuntungan pertukaran asing yang tidak direalisasi.
  • Kadar penggunaan loji dicatatkan pada 87% (4Q 2023: 84%) pada suku tersebut telah menyumbang kepada peningkatan marginal dalam jumlah pengeluaran.

 

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata, "Kami teruja dengan perkembangan dari suku lepas setelah menstabilkan kadar penggunaan loji dan jumlah pengeluaran. Kepelbagaian portfolio produk kami menjadi penyumbang utama melalui peningkatan dalam segmen Olefin & Derivatif (O&D) yang membantu mengatasi penurunan purata harga produk dalam segmen Baja & Metanol (F&M). Segmen kimia khusus turut meningkat dengan pesat berikutan jumlah jualan dan margin produk yang lebih tinggi.

 

"Kami akan memberi tumpuan segera dalam memastikan kapasiti pengeluaran kami untuk semua segmen beroperasi pada kadar optimum dan berjalan lancar. Lima daripada loji kami dalam segmen O&D dan F&M dijadualkan menjalani penyelenggaraan berkanun pada tahun ini. Pada 1Q 2024, kami telah melengkapkan aktiviti pemulihan atau turnaround di PC Fertiliser Kedah di samping aktiviti penyelenggaraan di beberapa loji lain."

 

Mengenai prospek pasaran, beliau menambah, "Kami menjangkakan pergerakan harga produk akan bercampur menjelang suku kedua dengan beberapa produk O&D seperti etilena dan aromatik yang menunjukkan peningkatan dalam had bekalan manakala tiada perubahan dijangka bagi yang lain. Permintaan urea telah menyederhana disebabkan penangguhan musim penanaman serantau lantaran cuaca yang panas, manakala metanol kekal rendah berikutan permintaan hiliran yang berkurangan. "Di samping itu, kami juga menjangkakan prospek berbeza bagi segmen kimia khusus selaras dengan sektor pembinaan yang terus bergelut dengan pertumbuhan infrastruktur yang perlahan dan kadar faedah yang tinggi, namun demikian produk yang menjurus ke arah sektor automotif mungkin akan melihat permintaan yang lebih baik."

 

"Kami kekal berhati-hati terhadap ketegangan geopolitik berterusan yang menyumbang kepada ketidaktentuan harga tenaga dan bahan mentah serta persekitaran makroekonomi yang tidak menentu. Sehubungan dengan itu, kami juga menyedari potensi impak daripada kapasiti baru yang menembus pasaran, dan ini akan menyumbang kepada lebihan bekalan yang dijangka berterusan dalam memberi tekanan kepada harga dan margin produk," katanya.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:  

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran 

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.