Media Release

16 · Aug · 2024
PCG Mencatatkan PAT Sebanyak RM809 Juta Pada 2Q 2024
  • PAT kumulatif untuk 1H 2024 sebanyak RM1.5 bilion
  • Dividen interim sebanyak RM800 juta

 

 

Kuala Lumpur, 16 Ogos – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM809 juta untuk suku kedua Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2024. Pada suku tersebut, pendapatan meningkat sebanyak 3% berbanding 1Q 2024 kepada RM7.7 bilion, didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dalam segmen Baja & Metanol Kumpulan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen Kimia Khusus.

 

Sektor petrokimia terus dibebani lebihan bekalan petrokimia global, kadar pertumbuhan rendah dan ketidakstabilan geopolitik di samping prospek ekonomi makro yang tidak menentu. Harga produk olefin tertentu kekal tinggi berikutan kekurangan bekalan sementara yang berpunca daripada gangguan logistik dan penutupan penyelenggaraan loji di rantau Asia Pasifik, manakala ketersediaan bekalan memberi impak pada harga urea, propilena dan monoetilena glikol. Penekanan margin disebabkan oleh kos yang tinggi untuk tenaga, bahan mentah kimia dan operasi lain terus menimbulkan cabaran, terutamanya bagi pengeluar hiliran.

 

Untuk separuh pertama FY2024 secara kumulatif, pendapatan Kumpulan meningkat 4% tahun ke tahun kepada RM15.2 bilion berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen Kimia Khusus di samping impak pertukaran mata wang asing yang positif. Pendapatan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat 6% tahun ke tahun kepada RM2.3 bilion dan PAT meningkat 29% berbanding 1H 2023 kepada RM1.5 bilion. PCG mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM800 juta yang mewakili 55% daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI) 1H 2024.

 

Sorotan Utama 2Q 2024 Berbanding 1Q 2024

  • Pendapatan meningkat 3% kepada RM7.7 bilion (1Q 2024: RM7.5 bilion) berikutan jumlah jualan yang lebih tinggi.
  • EBITDA menurun 4% kepada RM1.1 bilion (1Q 2024: RM1.2 bilion) disebabkan oleh kos operasi loji yang lebih tinggi daripada entiti usaha sama. Margin EBITDA pula menurun kepada 14% (1Q 2024: 16%).
  • Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat sebanyak 15% kepada RM809 juta (1Q 2024: RM703 juta) terutamanya disebabkan pendapatan lain yang berkaitan dengan penilaian semula pemiutang, di mana sebahagiannya diimbangi oleh kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasi untuk penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada sebuah syarikat usaha sama.
  • Dividen interim sebanyak 10 sen sesaham telah diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. Dividen berjumlah RM800 juta akan dibayar pada September 2024.
  • Kadar penggunaan loji meningkat kepada 89% (1Q 2024: 87%) pada suku tersebut yang turut menyumbang kepada peningkatan marginal dalam jumlah pengeluaran.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail mengulas, “Landskap perniagaan kini menjadi semakin kompleks, dan industri kimia terkesan dengan ketidaktentuan yang berpanjangan di mana kita perlu mengharungi lebihan kapasiti dan permintaan rendah untuk tempoh yang lama. PCG kekal teguh melaksanakan inisiatif-inisiatif kecemerlangan perniagaan kami untuk mengekalkan kecekapan dan keuntungan di samping memastikan strategi untuk mengekalkan kesinambungan masa hadapan Syarikat, yang merangkumi pelan penyahkarbonan, masih kekal mengikut jadual yang dirancang.”

 

“Untuk bahagian operasi menjelang separuh kedua tahun 2024 ini, kami mempunyai beberapa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji yang dijadualkan, di mana tumpuan segera kami adalah untuk melaksanakan aktiviti ini dengan selamat. Selain itu, kami juga menantikan operasi komersial loji usaha sama kami, PCG PCC Oxyalkylates di Kertih, Terengganu.”

 

“Dalam beberapa bulan akan datang, kami menjangkakan segmen Olefin & Derivatif akan lebih perlahan berikutan susulan bekalan selaras dengan pengakhiran penutupan serantau, sementara permintaan hiliran kekal rendah. Urea dijangka akan lebih kukuh berikutan peningkatan aplikasi pertanian, sementara ketersediaan bekalan metanol terus memberi impak kepada metanol.”

 

Segmen Kimia Khusus dijangka akan mengalami pemulihan terhad pada separuh kedua tahun ini berikutan keadaan pasaran global yang tidak menentu dengan ketegangan geopolitik yang berterusan dan pemulihan yang kekal perlahan dalam permintaan pasaran. Cabaran dijangka berterusan dalam sektor pembangunan dan pembinaan, sementara sektor automotif menunjukkan tanda-tanda permintaan yang mendatar untuk separuh kedua 2024 walaupun terdapat peningkatan tertentu dalam sektor barangan pengguna,” akhirinya.

 

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:  

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran 

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.