Media Release

18 · Sep · 2024
PCG Meneruskan Program Be Green buat Tahun Kedua di Indonesia

Kuala Lumpur, 18 September 2024 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) menjalankan aktiviti pembersihan pantai dan penanaman bakau baru-baru ini bersama golongan masyarakat di Desa Muara Teluk Naga, Banten, di samping meneruskan program impak sosial utamanya, Be Green, di Indonesia untuk tahun kedua.

 

Aktiviti-aktiviti pada tahun ini mengukuhkan lagi komitmen Syarikat untuk menangani cabaran alam sekitar terutamanya pencemaran plastik dan memperkasakan masyarakat untuk memainkan peranan aktif dalam pemeliharaan alam sekitar.

 

“Pengembangan program Be Green di luar Malaysia menunjukkan komitmen berterusan kami terhadap pengurusan sisa plastik. Apabila digunakan dan dilupuskan secara bertanggungjawab, plastik sebenarnya bukanlah satu masalah; malah ia merupakan sumber yang berharga. Melalui Be Green, matlamat kami adalah untuk memperkasakan lebih ramai individu yang berpengetahuan mengenai plastik dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab, selaras dengan agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG. Kami terus berdedikasi untuk memupuk tabiat positif di samping menyumbang kepada pembangunan generasi yang mengamalkan gaya hidup lestari,” kata Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG.

 

PCG telah mengembangkan Be Green ke Indonesia buat kali pertama pada tahun 2023, dengan sesi perkongsian tentang penggunaan dan pengendalian plastik yang betul bersama pelajar-pelajar dari Universiti Indonesia, dan aktiviti ‘plogging’ sempena Hari Bebas Kenderaan di Jakarta.

 

Melalui anak syarikatnya, PT PCM Kimia Indonesia, PCG meneruskan usahasama dengan komuniti di Desa Muara Teluk Naga untuk melaksanakan pelbagai inisiatif Be Green, termasuk kutipan sisa lautan. PCG juga akan mendidik komuniti tempatan tentang modul pendidikan Plastik, Kelestarian dan Anda (PSYE) untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan plastik yang lestari dan pengurusan sisa yang berkesan.

 

“Kami teruja untuk menyokong program Be Green PCG buat tahun kedua di Indonesia, berikutan kecenderungan yang menggalakkan daripada rakyat Indonesia terhadap Be Green tahun lepas. Kami percaya bahawa dengan kerjasama komuniti tempatan, kami boleh mendidik lebih ramai tentang pengetahuan plastik dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab, serta menyumbang kepada pengurangan sisa plastik, selaras dengan Pelan Hala Tuju Pengurangan Sampah (2020 – 2029) Indonesia,” kata Nurfarizam Chik, Ketua Pegawai Eksekutif PT PCM Kimia Indonesia.

 

Ditubuhkan pada 2013, Be Green bertujuan untuk memberikan kesan positif terhadap masyarakat melalui pendidikan dan kolaborasi aktiviti kitar semula. PCG menggalakkan pengurusan sisa secara bertanggungjawab serta amalan 3R (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) dengan melibatkan penyertaan daripada sekolah dan komuniti tempatan di sekitar kawasan operasi PCG. Ini adalah selaras dengan agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG dan strategi impak sosial, di samping menyumbang kepada peralihan global ke arah ekonomi sirkular.

 

Be Green juga selaras dengan salah satu tunjang impak sosial PETRONAS – Planting Tomorrow – di mana fokus utamanya adalah mendidik generasi muda tentang kepentingan biodiversiti dan kehidupan lestari.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:  

 

Yogeswari Thangavelu

Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran 

PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

E : yogeswari.thangavel@petronas.com

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2024 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.