PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

PETRONAS Rekod Prestasi Kewangan Sembilan Bulan Lebih Rendah Sejajar dengan Penurunan Harga Tenaga

2023 Media Release - 1 Dec

KUALA LUMPUR, 30 November 2023 – PETRONAS merekodkan prestasi kewangan yang lebih rendah untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 disebabkan oleh penurunan harga tenaga, sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan lebih tinggi untuk produk utama.

YTD Q3 FY2023 (Analisis berbanding YTD Q3 FY2022)

  • Pendapatan untuk sembilan bulan pertama adalah RM251.9 bilion, pengurangan RM17.5 bilion berbanding tempoh sama pada 2022. Ini disebabkan oleh purata harga realisasi untuk semua produk berikutan penurunan harga penanda aras, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jumlah jualan untuk produk utama serta kesan tukaran asing yang menggalakkan.
  • PAT menurun RM13.1 bilion dan Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) berkurang kepada RM103.9 bilion.
  • Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM76.0 bilion
  • Pelaburan Modal (CAPEX) berjumlah RM34.3 bilion, terutamanya disumbangkan oleh projek Huluan dan Gas. CAPEX domestik meningkat 37 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu disebabkan oleh pelaburan bagi Projek LNG Terapung Pesisir Pantai di Sabah dan Fasiliti Pembangunan dan Pensekuesteran Karbon Dioksida di Lapangan Gas Kasawari di Sarawak.
  • Jumlah aset meningkat kepada RM752.2 bilion setakat 30 September 2023 berbanding RM710.6 pada 31 Disember 2022.
  • Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM432.4 bilion pada 30 September 2023 daripada RM401.6 bilion pada 31 Disember 2022, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham yang direkodkan serta kesan menggalakkan daripada tukaran asing dalam tempoh tersebut, sebahagiannya diimbangi oleh dividen yang diisytiharkan kepada kerajaan.

Q3 FY2023 (Analisis berbanding Q3 FY2022)

  • Pendapatan adalah pada RM82.9 bilion berbanding RM98.9 bilion, terutamanya disebabkan oleh purata harga realisasi yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh kesan tukaran asing yang menggalakkan.
  • PAT berjumlah RM23.9 bilion dan EBITDA menurun kepada RM33.3 bilion
  • CFFO adalah pada RM18.1 bilion, selari dengan keuntungan yang lebih rendah pada tempoh tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata:

“Prestasi PETRONAS pada suku ketiga membuktikan penyampaian fokus strategi Peralihan Tenaga kami walaupun berdepan dengan pasaran tenaga yang tidak menentu.

“Kami terus melabur semula secara berdisiplin menerusi perniagaan teras dan baharu, menggandakan usaha terhadap pemastian keselamatan bekalan tenaga di Malaysia dan pelanggan di seluruh dunia. Sehingga kini, syarikat berada di landasan tepat untuk mencapai penggunaan penuh 20 peratus CAPEX yang komited untuk mempergiatkan penyahkarbonan operasi dan pertumbuhan dalam perniagaan baharu.

“Sambil memacu momentum untuk menyampaikan nilai mampan jangka panjang sebagai syarikat minyak nasional dan pemain tenaga global yang terus berkembang, PETRONAS kekal tekad untuk mengharungi ketaktentuan pasaran tenaga dengan komitmen yang teguh dalam menyediakan tenaga yang selamat, penghasilan yang bertanggungjawab, pengoptimuman kos dan pengurangan pelepasan.

“Selain itu, PETRONAS akan terus meningkatkan usaha dalam menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menumpukan kepada pelaburan untuk memperkasakan pembangunan modal insan menerusi penyerahan MRSM Bintulu dan MRSM Ranau baru-baru ini. PETRONAS terus komited untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan demi masa depan yang mampan.”

Tinjauan

Ketidakstabilan harga minyak dan gas dijangka meningkat berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan serta kebimbangan yang berterusan terhadap keselamatan tenaga global di tengah-tengah ketegangan geopolitik di Timur Tengah. Berdasarkan landskap semasa, PETRONAS menjangkakan keuntungan yang lebih rendah berbanding tahun lalu. Walau bagaimanapun, PETRONAS akan terus memperkukuh kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil mempergiat agenda pertumbuhan dan kelestariannya di Malaysia dan antarabangsa.

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots