PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

PETRONAS Catat Prestasi Kukuh Pada Separuh Pertama 2023 di Sebalik Harga Tenaga yang Lebih Rendah

2023 Media Release - 30 Aug

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2023 – PETRONAS mencatatkan prestasi yang kukuh bagi separuh tahun pertama 2023 di tengah-tengah kemerosotan harga tenaga, dengan merekodkan pendapatan sebanyak RM170.3 bilion - penurunan marginal daripada RM170.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu. Kumpulan merekodkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM40.2 bilion, penurunan 13 peratus, terutamanya disebabkan oleh harga realisasi purata yang lebih rendah.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (Q2 FY2023), pendapatan menurun 13 peratus kepada RM79.9 bilion di tengah-tengah persekitaran harga yang rendah berbanding Q2 FY2022. PAT berkurang 29 peratus kepada RM16.4 bilion daripada RM23 bilion selari dengan pendapatan yang rendah.

Separuh Pertama FY2023 (Analisis berbanding Separuh Pertama FY2022)

  • Pendapatan berjumlah RM170.3 bilion, berbanding RM170.4 bilion tempoh sama tahun lalu. Ini terutamanya disebabkan oleh purata harga realisasi untuk produk utama yang selari dengan harga penanda aras yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang meningkat khususnya daripada produk petroleum dan petrokimia serta kesan tukaran asing yang menggalakkan.
  • PAT berkurangan sebanyak RM6.2 bilion terutamanya disebabkan oleh purata harga realisasi.
  • Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) adalah RM70.5 bilion sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.
  • Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) adalah RM57.8 bilion, menurun tujuh (7) peratus berbanding RM62.4 bilion sebelum ini, selari dengan keuntungan yang dijana sepanjang tempoh itu.
  • Pelaburan Modal (CAPEX) berjumlah RM21.4 bilion, terutamanya disumbangkan oleh projek Huluan dan Perniagaan Gas. CAPEX Domestik meningkat sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu khususnya untuk pelaburan Projek LNG Terapung Pesisir Pantai (ZLNG) di Sabah serta Pembangunan Lapangan Gas Kasawari di Sarawak.
  • Jumlah Aset meningkat kepada RM742.0 bilion pada 30 Jun 2023 berbanding RM710.6 bilion pada 31 Disember 2022.
  • Ekuiti Pemegang Saham meningkat kepada RM410.0 bilion setakat 30 Jun 2023 berbanding RM401.6 bilion pada 31 Disember 2022, khususnya disebabkan oleh keuntungan yang diagihkan kepada pemegang saham yang dicatatkan dalam tempoh tersebut.

Q2 FY2023 (Analisis berbanding Q2 FY2022)

  • Pendapatan adalah pada RM79.9 bilion disebabkan oleh purata harga realisasi yang lebih rendah untuk semua produk, yang sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang bertambah baik daripada produk petroleum dan petrokimia serta kesan tukaran asing yang menggalakkan.
  • PAT adalah pada RM16.4 bilion, seiring dengan pendapatan yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh cukai yang lebih rendah.
  • EBITDA berada pada RM32.0 bilion, menyusut RM11.1 bilion, selari dengan keuntungan yang lebih rendah.
  • CFFO adalah pada RM32.3 bilion, menurun sebanyak RM2.2 bilion selari dengan keuntungan yang lebih rendah untuk tempoh itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata:

“Kumpulan PETRONAS komited memajukan inisiatif untuk mengekalkan prestasi perniagaan walaupun berdepan dengan persekitaran harga yang tidak menentu pada separuh pertama 2023. Usaha ini turut menumpukan kepada kecemerlangan operasi dan komersial di sepanjang rantaian nilai kami, mengekalkan pengeluaran huluan dan memenuhi komitmen dalam menyediakan tenaga yang dipercayai kepada semua pelanggan.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangka akan menghadapi ketidaktentuan yang semakin sukar, termasuklah pasaran tenaga yang lemah untuk sepanjang tahun ini berikutan aktiviti ekonomi global yang perlahan. Walaupun berdepan dengan cabaran jangka pendek, kami akan terus memberi tumpuan untuk mengukuhkan masa depan syarikat dalam menyampaikan nilai jangka panjang. Untuk itu, kami akan meningkatkan pelaburan perniagaan teras, sambil mengurangkan pelepasan sementara melabur dalam perniagaan tenaga bersih bagi memastikan portfolio Kumpulan terus teguh selari dengan Strategi Peralihan Tenaga kami.

“PETRONAS percaya bahawa perkara yang perlu dilaksanakan adalah dengan mempertingkatkan daya tahan bagi mencapai nilai jangka panjang yang mampan sebagai syarikat minyak nasional serta berkembang sebagai pemain tenaga global.”

Tinjauan

Harga minyak dan gas kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi yang berterusan serta kebimbangan terhadap sekuriti tenaga. Di tengah-tengah cabaran ini, PETRONAS kekal teguh dalam menyediakan tenaga secara bertanggungjawab bagi menyokong agenda kelestarian dan pertumbuhannya, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots