Hak Cipta © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)(20076-K).
Hak Cipta Terpelihara.
KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2023 – PETRONAS mencatatkan prestasi yang kukuh bagi separuh tahun pertama 2023 di tengah-tengah kemerosotan harga tenaga, dengan merekodkan pendapatan sebanyak RM170.3 bilion - penurunan marginal daripada RM170.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu. Kumpulan merekodkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM40.2 bilion, penurunan 13 peratus, terutamanya disebabkan oleh harga realisasi purata yang lebih rendah.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (Q2 FY2023), pendapatan menurun 13 peratus kepada RM79.9 bilion di tengah-tengah persekitaran harga yang rendah berbanding Q2 FY2022. PAT berkurang 29 peratus kepada RM16.4 bilion daripada RM23 bilion selari dengan pendapatan yang rendah.
Separuh Pertama FY2023 (Analisis berbanding Separuh Pertama FY2022)
Q2 FY2023 (Analisis berbanding Q2 FY2022)
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata:
“Kumpulan PETRONAS komited memajukan inisiatif untuk mengekalkan prestasi perniagaan walaupun berdepan dengan persekitaran harga yang tidak menentu pada separuh pertama 2023. Usaha ini turut menumpukan kepada kecemerlangan operasi dan komersial di sepanjang rantaian nilai kami, mengekalkan pengeluaran huluan dan memenuhi komitmen dalam menyediakan tenaga yang dipercayai kepada semua pelanggan.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangka akan menghadapi ketidaktentuan yang semakin sukar, termasuklah pasaran tenaga yang lemah untuk sepanjang tahun ini berikutan aktiviti ekonomi global yang perlahan. Walaupun berdepan dengan cabaran jangka pendek, kami akan terus memberi tumpuan untuk mengukuhkan masa depan syarikat dalam menyampaikan nilai jangka panjang. Untuk itu, kami akan meningkatkan pelaburan perniagaan teras, sambil mengurangkan pelepasan sementara melabur dalam perniagaan tenaga bersih bagi memastikan portfolio Kumpulan terus teguh selari dengan Strategi Peralihan Tenaga kami.
“PETRONAS percaya bahawa perkara yang perlu dilaksanakan adalah dengan mempertingkatkan daya tahan bagi mencapai nilai jangka panjang yang mampan sebagai syarikat minyak nasional serta berkembang sebagai pemain tenaga global.”
Tinjauan
Harga minyak dan gas kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi yang berterusan serta kebimbangan terhadap sekuriti tenaga. Di tengah-tengah cabaran ini, PETRONAS kekal teguh dalam menyediakan tenaga secara bertanggungjawab bagi menyokong agenda kelestarian dan pertumbuhannya, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.