Media Release

22 · Apr · 2025
PCG Mengemudi Cabaran dan Menumpukan Pemacuan Pembangunan   
  • Prestasi operasi serta komersil yang kukuh meski cabaran sejagat 
  • Memacu kemajuan melalui projek utama dan pengembangan global 
  • Jumlah pembayaran dividen sebanyak RM1 billion untuk tahun kewangan 2024 

 

KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-27 pada hari ini untuk berkongsi prestasi Syarikat dengan pemegang sahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. AGM tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi PCG, Datuk Sazali Hamzah, bersama ahli Lembaga Pengarah, serta dihadiri oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail dan Ketua Pegawai Kewangan PCG, Mohd Azli Ishak. Mazuin turut berkongsi prestasi, pelan pembangunan serta pandangan Syarikat bagi 2025.  

 

Peningkatan Prestasi Operasi dan Komersil   

Pada tahun 2024, PCG menzahirkan operasi serta komersil yang kukuh meski menghadapi pelbagai cabaran besar termasuk gangguan geopolitik, kenaikan kos tenaga, serta lambakan bekalan berterusan. Faktor-faktor ini menyumbang kepada tekanan inflasi dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan lagi impak kepada industri kimia yang sudah tinggi persaingannya.  

PCG mencapai prestasi operasi yang baik melalui kadar penggunaan loji setinggi 91 peratus pada 2024, melangkaui tanda aras dunia pada 90 peratus. Selain itu, Kumpulan juga mencapai jumlah pengeluaran tertinggi pada 11.2 juta tan setahun dengan peningkatan dari segmen kimia khusus. Kejayaan-kejayaan ini dipacu oleh pelbagai usaha proaktif untuk merangsang kecekapan loji, mengurangkan masa henti peralatan, memperkasa program kebolehpercayaan aset serta melaksana berbagai penyelesaian digital bagi ramalan analisis dalam pengawasan prestasi operasi. 

Dari segi komersil, PCG mencatat rekod jualan sebanyak 10.4 juta tan metrik pada 2024, iaitu peningkatan setinggi 27 peratus sejak lima tahun lalu. Perkembangan ini menekankan kedudukan pasarannya yang kukuh serta komitmen kecemerlangan komersil, yang boleh dilihat daripada kadar Kebolehpercayaan Pemenuhan Pesanan dalam segmen Komoditi setinggi 95 peratus, menjangkaui paras industri pada 90 peratus. Penyumberan strategik serta kerjasama di pasaran penting seperti China, Thailand, dan Indonesia telah menguatkan saranan nilai dan memperkasa kebolehan Syarikat dalam berkhidmat kepada pelanggan dalam pasaran tempatan mereka. 

Mengulas berkenaan prestasi PCG, Mazuin berkata, “Kemampuan PCG dalam mencapai prestasi operasi dan komersil yang kukuh walaupun dalam persekitaran yang mencabar adalah bukti tumpuan, disiplin serta komitmen kami untuk mencapai kecemerlangan menyeluruh. Usaha-usaha proaktif bagi merangsang kecekapan, kebolehpercayaan, dan keupayaan telah menyumbang kepada kebingkasan kami dalam menghasilkan produk bermutu tinggi disamping memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan kami.” 

 

Menjana Pertumbuhan 

Menjana pertumbuhan kekal menjadi keutamaan kami pada 2024. Salah satu pencapaian besar segmen Olefin dan Derivatif ialah dengan bermulanya operasi Pengerang Petrochemicals Company di Johor – iaitu projek pembangunan tebesar PCG dengan kerjasama Aramco – untuk menghasilkan polimer dan glikol yang digunakan dalam pelbagai barangan harian. Selain itu, loji Isononanol di Pengerang telah menghasilkan produk menurut spesifikasi yang betul serta dijadualkan untuk beroperasi sepenuhnya pada 2025. PCG turut menambah rantaian nilai segmen Baja dan Metanol dengan siapnya loji Melamina di Gurun, Kedah. Loji ini akan menawarkan kepelbagaian produk, peluang-peluang bernilai tinggi, serta meletakkan PCG sebagai satu-satunya pengeluar melamina di Asia Tenggara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan import di rantau ini.  

PCG turut mencatatkan lonjakan kemajuan melalui beberapa kerjasama strategik. Operasi komersil syarikat usaha sama dengan PCC SE di Kertih, Terengganu telah mula mengeluarkan Etoksilat Khusus dan Polieter Poliol bagi sektor-sektor berkembang pesat seperti automotif dan penjagaan diri. Di Gebeng, Pahang, Syarikat meningkatkan kapasiti asid 2-etilheksanoik (2-EH) sebanyak dua kali ganda untuk menyokong permintaan pelincir sintetik serta bahan tambah minyak yang semakin meningkat. 

Secara keseluruhannya, projek-projek ini dijangka akan menambah pengeluaran PCG kira-kira 1.8 juta tan setahun, mengukuhkan lagi komitmennya dalam penciptaan nilai serta pengembangan industri hiliran. 

Dalam segmen kimia khusus, PCG terus memenuhi permintaan penting pasaran dengan memanfaatkan sinergi pelbagai aset sedia ada. Melalui persepaduan dengan loji Isononanol di Pengerang, portfolio kimia oxo Perstorp telah berkembang, mengukuhkan lagi kedudukan PCG di pasaran pemplastik Asia Pasifik. Pelancaran Pevalen™ Pro 100, pemplastik mapan terbitan karbon boleh diperbaharui, menjadi penanda aras baharu buat industri. Ia menawarkan penyelesaian berprestasi tinggi yang boleh diperbaharui sepenuhnya, untuk kegunaan sektor plastik lembut khususnya dalam bidang perubatan dan automotif. Selain itu, PCG memperkenalkan Emfinity™ iaitu bahan pelembap berasaskan bio untuk formulasi penjagaan diri. Ianya telah menerima maklumbalas memberangsangkan daripada pelbagai jenama kosmetik terkemuka, seterusnya menguatkan lagi komitmen PCG dalam reka baru serta pembangunan dalam pasaran yang bernilai tinggi dan lestari. Tambahan pula, pemerolehan OQ Chemicals Nederland B.V. mengembangkan keupayaan PCG dalam mengeluarkan rangkaian ester sintetik untuk bendalir pengubah yang mengetengahkan lagi kehadiran PCG dalam segmen Cecair Tereka Bentuk. 

Membina daripada momentum ini, PCG terus mengukuhkan lagi kedudukan globalnya dalam rantau pesat membangun untuk memperkasa capaian pasaran serta menghampiri pelanggan. Penubuhan pejabat wilayah di Türkiye menyokong perkembangan kedudukannya di Eropah. Manakala di Asia, loji Pentaeritritol dan Kalsium Format di Bharuch, India, yang baru bertauliah sebagai loji lestari, merangsang saingan kos serta memenuhi permintaan tempatan yang semakin meningkat, disamping menyokong perluasan wilayah. 

 

Mencipta nilai untuk pihak berkepentingan 

Pada tahun 2024, PCG menghadapi persekitaran operasi yang mencabar tetapi Syarikat tetap teguh dan lincah, mengekalkan keuntungan serta menyampaikan nilai untuk pemegang saham. PCG mencatatkan rekod hasil tertinggi sebanyak RM30.7 bilion, dipacu oleh peningkatan jualan merentas semua segmen, penambahbaikan harga produk, serta subangan dari operasi petrokimia di Pengerang, Johor. Walaupun Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) berkurang kepada RM3.5 bilion; kebanyakan disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih rendah, Syarikat kekal teguh dalam kedudukan kewangan yang sihat. Kebingkasan ini membolehkan PCG untuk mengimbangkan agihan kepada pemegang sahamnya, dengan nisbah pulangan dividen tertinggi pada tahap 88.5 peratus. 

“Kami terus beroperasi di persada global yang kian tidak menentu, bersama tekanan perdagangan yang semakin meruncing serta pasaran tidak stabil yang berterusan. Walaupun kita dapat lihat ada sedikit penambahbaikan harga komoditi dan pemulihan permintaan kimia khusus yang sederhana, semasa sepanjang suku pertama 2025, kami tetap berwaspada dalam prospek masa depan. Sebagai tindak balas, kami menyasarkan kecemerlangan operasi dan komersil; bertumpukan keselamatan, pengoptimuman kos, serta kebolehpercayaan aset untuk mengukuhkan kebingkasan kami.” 

“Pada masa yang sama, kami akan terus mengekalkan disiplin kewangan yang ketat serta perbelanjaan modal berhemat. Strategi pembangunan kami bertumpukan pembinaan saluran projek yang kukuh sebagai respon terhadap dinamik industri yang berubah ansur disamping memanfaatkan rangkaian inovatif global kami untuk menghasilkan penyelesaian terkini. Melalui pelbagai usaha ini, PCG kekal teguh dalam mencipta nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan serta terus bersaing dalam persekitaran yang semakin mencabar,” akhiri Mazuin. 

Laporan 2024 PCG versi digital; Laporan Bersepadu, Laporan Lestari, dan Laporan Kewangan boleh didapati di sini https://www.petronas.com/pcg/media/reports serta laman sesawang Bursa Malaysia di www.bursamalaysia.com dalam Pengumuman Syarikat.  

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots

Copyright © 2025 PETRONAS Chemicals Group Berhad 199801003704 (459830-K).
All rights reserved.