Hak Cipta © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)(20076-K).
Hak Cipta Terpelihara.
KUALA LUMPUR, 7 Jun 2023 – PETRONAS merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM23.8 bilion bagi suku pertama 2023, penurunan dua peratus daripada suku keempat 2022. Berbanding suku sama tahun lalu, PAT mencatatkan peningkatan dua peratus. Pendapatan Kumpulan suku berkenaan adalah RM90.4 bilion, penurunan 15 peratus daripada suku keempat 2022. Prestasi yang dilaporkan adalah peningkatan 16 peratus berbanding pendapatan yang direkodkan pada suku pertama 2022.
Mengambil kira risiko ketidaktentuan dan ketidakpastian yang berterusan dalam persekitaran perniagaan, PETRONAS mengekalkan prospek berhati-hati untuk 2023. Kumpulan akan terus melaksanakan pengurusan kewangan berhemat dan berdisiplin dalam pelaburan semula untuk mengukuhkan portfolio perniagaan serta membina daya tahan dengan penambahbaikan berterusan untuk kecemerlangan komersial dan operasi.
Keputusan Q1 FY2023 (Analisis berbanding Q1 FY2022)
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata:
“Prestasi PETRONAS yang memberangsangkan pada suku pertama ini membuktikan komitmen berterusan Kumpulan untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil membangunkan penyelesaian untuk masa depan dengan karbon yang lebih rendah, meskipun ketika berdepan dengan persekitaran perniagaan yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Berdasarkan kepada situasi ini, PETRONAS perlu mengambil tindakan yang meyakinkan untuk terus menyampaikan nilai yang mampan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai syarikat minyak nasional meskipun syarikat berhasrat untuk berkembang sebagai pemain tenaga global. Kami akan kekal teguh untuk memajukan strategi syarikat serta memperhalusi Strategi Pertumbuhan Tiga Serampang ke dalam Strategi Peralihan Tenaga PETRONAS, seterusnya mengukuhkan hasrat untuk peralihan saksama dan bertanggungjawab.
Melangkah ke hadapan, PETRONAS akan kekal berhati-hati, fokus terhadap pengurusan kewangan dan pelaburan berhemat untuk mengukuhkan teras syarikat serta mengembangkan portfolio perniagaan. Kami menyasarkan untuk meningkatkan nilai bagi pihak berkepentingan dan rakan kongsi kami, dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia dan masyarakat di mana jua kami beroperasi.”
Tinjauan
Harga minyak dan gas dijangka menyederhana disebabkan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan, keuntungan yang lebih rendah turut dijangkakan berbanding tahun lalu. Namun begitu, PETRONAS tetap komited untuk mengukuhkan aktiviti perniagaannya, sambil meneruskan agenda kelestariannya.