PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

Kemampanan

Memupuk Peralihan yang Adil

PETRONAS menetapkan matlamat untuk mencipta hubungan yang positif dengan komuniti di tempat syarikat beroperasi, dengan melindungi dan menambah nilai kesejahteraan pekerja, rakan kongsi dan komuniti.

Maju Bersama: Sebuah Perkongsian Inovatif Dengan Institusi Kewangan
Malaysia

Bertekad untuk mencipta Impak Sosial Positif terhadap pertumbuhan vendor OGSE kami dan pada masa yang sama menyokong industri OGSE negara, kami telah membangunkan satu perkongsian inovatif dengan 9 institusi kewangan untuk memudahkan Access to Financing (A2F) kepada vendor OGSE kami. Program ini membantu vendor untuk mendapatkan modal kerja dan meningkatkan aliran tunai bagi kelestarian melalui Vendor Financing Programme (VFP). Sehingga kini, bantuan pembiayaan sebanyak RM1.3 bilion telah diluluskan untuk lebih 235 permohonan oleh vendor sejak pengenalannya pada bulan Mei 2018.

Memperluas Penggunaan Fabrik yang Tidak Digunakan

Sebagai komitmen terhadap masa depan yang lestari, Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) melancarkan program "Recycle Your Clothes", yang berjaya mengumpul sebanyak 40 tan kain yang tidak digunakan daripada orang ramai.


Program ini bermatlamat serampang dua mata - untuk mengatasi isu pemanasan global dan limpahan tapak pelupusan, dan merupakan sebahagian daripada usaha kolektif INSTEP untuk mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS, terutamanya aspirasi pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2050.

Program ini menerima sambutan yang luar biasa oleh masyarakat dan membolehkan pengumpulan 40 tan kain yang tidak digunakan termasuk pakaian, beg, tali pinggang, langsir, dan selimut, dalam masa lima hari berbanding dengan rancangan asal selama lima minggu. Kain-kain yang dikumpulkan dikirimkan ke Life Line Clothing, iaitu sebuah syarikat kitar semula tekstil, untuk dikelaskan dan dihasilkan semula. Barang-barang yang boleh digunakan akan dijual di kedai pakaian terpakai atau dieksport ke negara-negara membangun yang memerlukan pakaian murah, manakala barang-barang yang tidak boleh digunakan akan dihasilkan semula sebagai kain lap industri atau diubah suai sebagai selimut atau diproses menjadi bahan bakar terhasil daripada sisa (RDF) untuk industri relau.

Keuntungan akhir daripada jualan dan eksport barang-barang kitar semula akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional Malaysia (MAKNA). Sehingga bulan Oktober 2021, kain-kain yang dikumpulkan telah menyumbang kepada pengurangan pelepasan CO2 bersamaan 70,139kg (CO2-e) kepada alam sekitar, mengurangkan purata pelepasan gas rumah hijau (GHG) di Malaysia selama 3,340 hari, dan mengelakkan kos pelupusan tapak sebanyak RM5,890.15 dan 397 tong sampah yang penuh.

Penanaman Kupang Untuk Mengembalikan Mata Pencarian Komuniti Orang Asli

PETRONAS melancarkan projek akuakultur kupang pada bulan April 2019 untuk mengembalikan dan menyediakan sumber pendapatan yang lebih kukuh dan lestari untuk komuniti asli Seletar di Pengerang. Dilaksanakan dalam dua fasa, projek ini melibatkan 100 keluarga dari lima kampung: Kampung Pasir Salam di Ulu Tiram, Kampung Pasir Putih, Kampung Kuala Masai, Kampung Teluk Jawa dan Kampung Teluk Kabong di kawasan Pasir Gudang.

Dengan usaha bersama dan sokongan oleh pihak berkuasa tempatan, komuniti Seletar berjaya menuai hasil kupang mereka pada Oktober 2019 dan meraih pendapatan tambahan sebanyak RM200 sebulan untuk setiap petani. Pada awal tahun 2021, sebanyak 30,000 baris perangkap pemungutan telah dipasang untuk pembiakan kupang.

Meningkatkan Perdagangan Dalam Negeri Dengan Kempen "Love Local"

Semasa COVID-19 memberikan impak yang besar kepada PKS dan industri pelancongan, PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) menganjurkan Kempen Love Local dari September 2020 hingga Februari 2021 dengan tujuan untuk menggerakkan rakyat Malaysia dalam menyokong produk tempatan dan pada akhirnya merangsang penggunaan dalam negeri.

Sejak dilancarkan, 50 jenama tempatan telah bekerjasama dengan kempen tersebut untuk menyediakan tawaran yang menarik dalam bidang makanan dan minuman, produk kesihatan dan kecantikan, hotel dan pelancongan. PDB juga mempromosikan pelbagai produk makanan dan minuman tempatan dengan rak khas di 100 kedai Mesra terpilih untuk menyokong PKS tempatan.

Menanam Keusahawanan Modal Insan Melalui Seed.Lab

Pada tahun 2020, PETRONAS dan Tata Consultancy Services (TCS) menubuhkan Social Enterprise Education Lab (SEEd.Lab), iaitu sebuah program inkubasi 12 bulan yang merangkumi idea, penginkubasian dan pemasaran penyelesaian perniagaan lestari melalui teknologi dan digital untuk golongan belia. Program ini bertujuan mengurangkan pengangguran belia di Malaysia, dan telah membimbing sebanyak 36 peserta Kohort 1 melalui pelbagai tahap penting dalam memulakan perniagaan seperti bimbingan perniagaan dan kepimpinan, kepakaran teknikal untuk pembangunan penyelesaian, pembiayaan, serta ujian pasaran dan pemasaran. Tiga entiti sosial yang relevan dan mengikut arus semasa telah dilahirkan sebagai hasil SEEd.Lab:

  • Teman Malaysia, penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas

  • SOLVNEX, platform pembelajaran mesin untuk membuka peluang kerja bagi profesional gig

  • Foodlab, cloud kitchen yang bertujuan membantu usahawan makanan untuk meningkatkan pencapaian secara lestari

Kohort 2 dijangka akan bermula pada separuh kedua tahun 2021 untuk mencabar lebih ramai belia dalam memajukan perubahan yang diinginkan mereka dalam masyarakat dan memberikan kesan pengganda dalam komuniti.

Pegi ke SEEd.Lab Website

Petronita menyokong Kesejahteraan Mental Komuniti

PETRONITA telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) untuk program pertolongan cemas kesihatan mental belia di sekolah menengah. Program ini bertujuan memberikan latihan kepada guru-guru tentang cara menangani pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental, yang dalam kebanyakan kes ialah responden pertama untuk pelajar di sekolah. Program perintis ini akan melibatkan 100 kaunselor sekolah menengah di Kuala Lumpur. Program akan dibiayai oleh PETRONITA dan disokong oleh Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur. Sesi latihan pertolongan cemas kesihatan mental pertama telah diadakan pada bulan Januari 2020, melibatkan 25 orang guru di Pusat Pembangunan Kebajikan dan Sosial Nasional di Bandar Baru Sentul.

PETRONITA, sebuah pertubuhan Isteri dan Kakitangan Wanita PETRONAS, ialah sebuah entiti amal yang memberikan komitmen secara berterusan kepada kesihatan mental dan kesejahteraan. Tahun lalu, organisasi tersebut menyumbang RM164,000 daripada hasil program amalnya "Orchid Run & Ride" kepada Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA).

Sumbangan tersebut membantu penubuhan pusat pengurusan aktiviti dan krisis yang baharu MIASA di Petaling Jaya, juga dikenali sebagai "The Orchid Clubhouse". Pusat ini telah dilancarkan pada 10 September 2020 untuk membantu lebih ramai pesakit dan penjaga.

Memperkukuh STEM di Malaysia

Sejak tahun 1975, Program Penajaan Biasiswa Pendidikan PETRONAS (PESP) telah membuka peluang pendidikan kepada hampir 37,000 bakat muda yang berpotensi di seluruh Malaysia dan dunia. Kami memberikan biasiswa kepada pelajar yang layak untuk mengikuti pendidikan peringkat tinggi dalam bidang berkaitan dengan minyak dan gas di institusi pengajian tinggi yang berprestij di Malaysia dan luar negara. Matlamat kami adalah untuk membuka peluang kepada bakat-bakat muda dalam usaha menuntut ilmu, memperhebat diri dan menggapai masa depan yang lebih gemilang. Kami terus memberikan tumpuan dalam memupuk bakat yang betul yang pada akhirnya akan memberikan sumbangan kepada pertumbuhan organisasi, industri dan negara. Kami juga memberikan tumpuan dalam mempermantap kebolehan guru-guru kita dan meningkatkan kualiti pengajaran mereka melalui Program Duta Guru, iaitu inisiatif oleh Yayasan PETRONAS dalam kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) melalui Pusat STEM Negara Malaysia.

Meningkatkan Usahawan Agro B40 - Impak Pengganda Untuk Pembangunan Negara

Dalam kerjasama kolaboratif dengan PETRONAS, Agrobank akan menawarkan pembiayaan mikro bernilai sehingga RM100 juta kepada usahawan mikro B40 dalam sektor pertanian dan berasaskan agro bagi tempoh selama 5 tahun. Bank milik kerajaan ini mempunyai lebih 11 program pembiayaan mikro yang menyokong sektor pertanian, seperti penanaman padi, kelapa sawit, nanas, dan produk tenusu. Program ini dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 3,000 penerima melalui kemudahan pembiayaan yang ditawarkan oleh Agrobank, selaras dengan Kenyataan Tujuan PETRONAS untuk menjadi rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang mempertingkatkan kualiti kehidupan untuk masa depan yang mampan serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya dalam mencipta Pekerjaan Bagus dan Pertumbuhan Ekonomi.

Menjadikan Kesejahteraan Komuniti sebagai Keutamaan di Iraq

PETRONAS aktif terlibat dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility, CSR) dan program perkhidmatan kebajikan di Kawasan Kontrak Garraf (GCA) sejak tahun 2013.

Program-program ini direka bentuk untuk memberikan akses yang sama rata kepada keperluan asas, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup komuniti sekitar. Program ini merangkumi pembangunan infrastruktur, pembaharuan sekolah, peningkatan kemudahan penjagaan kesihatan dan kemudahan sanitasi air Pembalikan Osmosis (RO) "Water for Life".

Program "Water for Life" telah menjangkau puluhan ribu penduduk di Kawasan Kontrak Garraf melalui tiga stesen air Pembalikan Osmosis (RO). Pada tahun 2020, tiga kemudahan lain telah disiapkan dan diserahkan kepada komuniti, dan walaupun banyak cabaran semasa yang dihadapi, lebih banyak kemudahan dijangka disiapkan dalam masa terdekat.

Akses kepada air bersih dan boleh diminum membolehkan komuniti memberikan lebih banyak masa dan tenaga kepada aktiviti produktif seperti pendidikan dan ekonomi, untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Inisiatif lain termasuk bantuan dalam bentuk peralatan perubatan seperti katil, penyejuk darah dan pemampat nebulizer untuk Klinik Al-Fajr di Daerah Al-Farj, Wilayah Thi-Qar, Iraq.

Dalam melaksanakan program-program ini, Kumpulan melalui PETRONAS Carigali Iraq Holding B.V. (PCIHBV) telah bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Minyak, Syarikat Minyak Thi Qar, pihak berkuasa kerajaan Wilayah, Daerah & Subdaerah serta para pemimpin masyarakat.

Memperkasakan Perniagaan untuk Memakmurkan Negara

Sejak tahun 1993, kami telah memperkasakan usahawan melalui Vendor Development Programme (VDP) kami. Dengan Kadar Kejayaan Vendor sebanyak 85%, kami telah membangunkan sejumlah 108 Vendor, yang seterusnya telah mencipta peserta global bernilai berbilion dolar. Kejayaan VDP telah menginspirasikan kerajaan dan syarikat lain untuk mencipta program pecutan mereka sendiri. Baru-baru ini, PETRONAS telah menubuhkan dua skim baharu untuk meningkatkan keupayaan perniagaan kecil tempatan di sektor minyak dan gas di Malaysia, iaitu VDPInnoTech (VDP Inovasi & Teknologi) dan VDPx, suatu kolaborasi dengan rakan- rakan PSC kami yang telah mendorong 46 daripada mereka mengambil bahagian sebagai Anchors.

Institusi Pendidikan dan Latihan Bertaraf Dunia

Dengan matlamat untuk mewujudkan kumpulan pekerja berpengetahuan tinggi dan mahir bagi menyokong pertumbuhan organisasi serta industri tenaga Malaysia, kami menyediakan perkhidmatan akademik dan latihan bertaraf dunia melalui pelbagai institusi pendidikan di bawah kelolaan kami. Kami juga menyumbang kepada pembangunan negara dengan memberikan tumpuan pada pengajaran, penyelidikan dan pembangunan, serta inovasi. Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) telah menjadi antara institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia, menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperoleh ilmu pengetahuan, kepakaran, dan kemajuan dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi, dan penyelesaian perniagaan lestari untuk cabaran global yang semakin meningkat. Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) ialah institut latihan teknikal termaju bertaraf dunia yang dimiliki oleh PETRONAS Technical Training Sdn Bhd (PTTSB), diwujudkan untuk mempercepat pembangunan modal insan dalam industri minyak dan gas melalui pembelajaran berasaskan pengalaman. Ditubuhkan pada tahun 1981, INSTEP mempunyai rekod kejayaan yang kukuh dalam memperkasakan keupayaan melalui program yang diubah suai, ditambah pula dengan kemudahan bertaraf dunia dan pengajar yang berpengalaman dan berkelayakan dalam industri.

Mendekatkan Pelajar Pedalaman dengan Sekolah

Pembinaan asrama untuk Sekolah Kebangsaan Balambangan Banggi di Pulau Balambangan, Sabah dan Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakeri di Paloh, Sarawak telah memberi kanak-kanak yang tinggal di kawasan luar bandar akses kepada pendidikan yang sangat diperlukan. Projek Asrama Harian Luar Bandar (AHLB) menyediakan kemudahan seperti asrama dan dewan makan untuk pelajar- pelajar tersebut. Tanpa kemudahan ini, mereka perlu menyeberangi sungai, hutan atau laut setiap hari untuk menghadiri kelas. Yayasan PETRONAS, bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat PETRONAS, terus membantu dengan menyediakan perabot dan peralatan lain untuk asrama yang baru dibina.

Memperkasakan Kehidupan dengan Air Bersih

Bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Malaysian Nature Society, MNS), kami mewujudkan Water For Life, iaitu sebuah program yang membina sistem air berasaskan graviti di kampung-kampung terpencil untuk menyediakan akses kepada air bersih. Dengan menjadikan sumber berharga ini mudah diperoleh, penduduk kampung di seluruh Malaysia dapat menikmati kualiti hidup yang lebih selesa dan kesejahteraan ekonomi yang lebih baik. Inisiatif oleh PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) menyokong misi Yayasan PETRONAS untuk memperkaya kehidupan bagi masa depan yang lestari dan telah memberikan manfaat kepada 16 kampung merentas 12 negeri, sekali gus memberikan makna kepada kehidupan lebih 8,600 penduduk sejak tahun 2013. Selain memastikan akses kepada air bersih melalui pemasangan paip air, tangki dan sistem penapisan serta peluasan empangan, Water For Life juga mendidik penduduk tentang pemuliharaan air dan risiko kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan air yang tidak bersih.

Sekalung Penghargaan Wira Kesihatan

Kami sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada komuniti yang memerlukan. Bagi membantu melawan wabak COVID-19 di Malaysia, kami menyumbang RM20 juta kelengkapan perubatan dan bekalan untuk membantu hospital dan barisan hadapan kesihatan. Sumbangan ini termasuk ventilator, katil hospital ICU dan tilam, kamera imbasan termal, sistem ujian virus, dan Peralatan Perlindungan Diri (PPE). Pensanitasi tangan juga diedarkan kepada sekolah-sekolah dan warga emas di rumah-rumah terpilih. Inisiatif ini oleh Yayasan PETRONAS, bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat kami, mencerminkan komitmen kami kepada usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Ikrar Kami untuk Melawan Kanser

Kami percaya bahawa kemajuan sosial mestilah inklusif dan sebuah komuniti tidak dapat mengekalkan pertumbuhan sosioekonomi jika rakyatnya terbelenggu dengan penyakit yang melumpuhkan seperti kanser. Melalui bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat kami, Yayasan PETRONAS, kami berjanji memberikan sumbangan sebanyak RM8 juta kepada Cancer Research Malaysia (CRM) untuk menyokong penyelidikan terkini dalam kanser turun-temurun dalam kalangan orang Asia. Harapan kami ialah perkongsian dengan CRM ini akan terus memartabatkan Malaysia di persada global dalam penyelidikan kanser kerana usaha ini membuka ruang untuk kerjasama yang lebih meluas dengan saintis terkemuka global, sambil memupuk generasi penyelidik kanser Malaysia yang seterusnya.

Membina Harapan Melalui Pendidikan Antarabangsa

Di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP), kami mewujudkan harapan kepada sebuah negara dengan menyediakan pelajar dari Sudan Selatan dengan kemahiran dan pendidikan yang diperlukan untuk membantu membina semula negara tercinta mereka dan mewujudkan masa depan yang lebih cerah. Dengan pemberian 10 biasiswa baharu pada tahun 2019, bilangan pelajar dari Sudan Selatan yang ditaja telah meningkat kepada 97 orang sejak program ini bermula. Melalui pemberian biasiswa kepada calon-calon muda yang layak, kami memastikan pembangunan sumber manusia dan teknikal yang berterusan untuk industri tenaga.


Ketahui Lebih Lanjut Tentang PETRONAS

 

Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots