Hak Cipta © Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)(20076-K).
Hak Cipta Terpelihara.
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2024 – Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, PETRONAS mencatatkan pendapatan sebanyak RM89.7 bilion, setanding suku pertama 2023 dalam keadaan ketidaktentuan landskap harga yang berterusan.
PETRONAS terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dalam fokusnya mengekalkan nilai dan menyediakan keselamatan tenaga serta penyelesaian karbon rendah untuk Malaysia dan pelanggannya di seluruh dunia.
Q1 2024 (Analisis berbanding Q1 2023)
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata:
"Prestasi kewangan kukuh PETRONAS pada suku pertama menunjukkan pelaksanaan fokus kami terhadap strategi yang jelas untuk peralihan tenaga: memajukan hidrokarbon dengan inisiatif penyahkarbonan yang boleh diukur dan berkesan serta mengejar penyelesaian tenaga yang lebih bersih.
Memandangkan jangkaan untuk berdepan dengan cabaran yang tidak menentu sepanjang tahun ini, PETRONAS akan memanfaatkan kekuatan portfolio bersepadunya untuk melabur semula dengan pantas dan berdisiplin. Kumpulan kekal teguh dalam pendekatannya untuk menjana pertumbuhan yang menguntungkan secara bertanggungjawab dan mampan. PETRONAS akan terus melaksanakan pengurusan berhemat bagi komitmen kewangan dan obligasi hutangnya.
Bersempena ulang tahun PETRONAS yang ke-50, Kumpulan berazam untuk terus menyumbang kepada masa depan karbon yang lebih rendah selaras dengan Strategi Peralihan Tenaga PETRONAS. Kami berhasrat untuk memenuhi kepercayaan pihak berkepentingan sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif mereka. PETRONAS kekal memikul amanah dalam menyediakan tenaga yang berterusan bagi pertumbuhan ekonomi serta memastikan keselamatan tenaga Malaysia dan pelanggannya di seluruh dunia.”
Tinjauan
Bagi suku pertama 2024, pasaran minyak dan gas terus terkesan oleh ketidakstabilan makroekonomi dan dinamik geopolitik di tengah-tengah peralihan tenaga yang membawa kepada landskap harga yang tidak menentu yang berpanjangan.
PETRONAS berusaha untuk mengekalkan nilainya dan kekal komited untuk memastikan keselamatan tenaga untuk pelanggannya di dalam dan luar Malaysia melalui pengurusan kos yang strategik, portfolio teguh yang mampan dan pengurusan kecairan tunai yang berhemat. Kumpulan akan terus melaksanakan segala usaha untuk menangani ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat, sambil memenuhi jangkaan pihak berkepentingan.
Selaras dengan Strategi Peralihan Tenaganya, PETRONAS terus berkembang pesat untuk mengukuhkan Perniagaan Teras1 ke arah menyiapkan Pembangunan Medan Gas Kasawari di Malaysia dan loji LNG di Kanada menjelang akhir tahun ini. Di samping itu, PETRONAS kini sedang meningkatkan Perniagaan Baharunya2 dengan pentauliahan penyambungan transmisi pertama bagi projek solar antara negeri di India.
1Perniagaan Teras dibahagikan kepada empat tumpuan utama – Huluan Malaysia, Huluan Antarabangsa, LNG dan Hiliran.
2Perniagaan Baharu merangkumi Bahan Kimia Khusus, Penangkapan & Penyimpanan Karbon, Rantaian Nilai Berasaskan Bio, Tenaga Boleh Diperbaharui, Hidrogen, Mobiliti Hijau, Peruncitan Bukan Bahan Api, Bahan Termaju dan Ekonomi Kitaran.
Rujukan
Klik di sini untuk melihat Laporan Kewangan Kumpulan PETRONAS
Klik di sini untuk melihat Laporan Operasi Kewangan Kumpulan PETRONAS