PETRONAS logo with text PETRONAS logo with text

Global

PETRONAS Memperhebat Strategi Peralihan Tenaga Menerusi Pelbagai Portfolio Bagi Memacu Pertumbuhan Masa Depan

2024 Media Release - 5 Sep

KUALA LUMPUR, 5 September 2024 – PETRONAS mencatatkan pendapatan RM171.7 bilion bagi separuh pertama 2024 (1H 2024) berbanding RM169.0 biliondalam tempoh sama tahun lalu. Ini disebabkan impak pasaran tukaran asing yang sebahagiannya diimbangi oleh purata harga terealisasi lebih rendah, terutama bagi gas asli cecair (LNG), sejajar dengan penurunan harga penanda aras.

Walaupun meraih pendapatan lebih tinggi, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan menurun 19 peratus kepada RM32.4 bilion, berikutan langkah penyahpaduan atau deconsolidation anak syarikat serta cukai lebih tinggi dalam tempoh tersebut.

Kumpulan merekodkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM64.1 bilion, penurunan sebanyak RM6.4 bilion atau 9 peratus, sejajar dengan keuntungan lebih rendah.

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM54.8 bilion merekodkan penurunan sebanyak RM3 bilion atau lima peratus, juga sejajar dengan keuntungan lebih rendah yang diraih dalam tempoh tersebut.

Perbelanjaan modal (CAPEX) berjumlah RM25.7 bilion terutamanya daripada aktiviti pembangunan dan penerokaan dalam perniagaan Huluan. CAPEX domestik meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM798.6 bilion pada 30 Jun 2024 berbanding RM773.3 bilion pada 31 Disember 2023,  disumbangkan terutamanya oleh perbelanjaan modal dalam tempoh kewangan di bawah kajian.

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM443.9 bilion disokong terutamanya oleh keuntungan yang dicatatkan sepanjang tempoh kewangan dengan sebahagiannya diimbangi oleh dividen berjumlah RM32 billion yang diisytiharkan kepada pemegang saham.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata:

“PETRONAS merekodkan keputusan memberangsangkan pada separuh pertama 2024, di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang berterusan, serta kelembapan ekonomi global. Ini membuktikan komitmen kami kepada pengurusan kewangan yang berhemat serta pengukuhan portfolio yang pelbagai.

Ketika meraikan ulang tahun yang ke-50tahun, PETRONAS tetap teguh melaksanakan amanahnya sebagai Syarikat Minyak Nasional untuk menyampaikan nilai mampan jangka panjang bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sejak penubuhannya, PETRONAS telah menyuntik sejumlah RM1.4 trilion ke dalam ekonomi negara menerusi dividien, cukai dan bayaran tunai.

Seiring perkembangan dan evolusi sebagai pemain tenaga global pada masa ini, PETRONAS akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan niaganya di dalam dan luar negara, mempercepat usaha menggunapakai teknologi dan pelaksanaan Strategi Peralihan Tenaga bagi merintis jalan untuk pertumbuhan pada masa depan.

Kami menjangkakan lebih banyak anjakan dinamik dalam landskap operasi sepanjang tahun ini, tetapi PETRONAS kekal berdaya tahan merentasi semua perniagaan bersepadu kami dengan strategi yang jelas dan disiplin modal yang kukuh, berpaksikan matlamat kami sebagai rakan kongsi dan penyelesaian tenaga yang progresif kepada semua komuniti di mana kami beroperasi.”

Tinjauan

Ketegangan geopolitik yang berpanjangan serta ketidaktentuan makroekonomi kekal sebagai pemacu utama kepada peningkatan ketidakstabilan berterusan yang memberi kesan negatif kepada pasaran global. Di tengah-tengah landskap yang serba mencabar dan dinamik ini, PETRONAS kekal tangkas dalam mengenalpasti dan mengutamakan peluang untuk pertumbuhan.

PETRONAS komited untuk memelihara nilai melalui rasionalisasi kos dan pelaburan berfokuskan nilai, di peringkat domestik dan antarabangsa. PETRONAS akan terus progresif dalam menjana pulangan daripada perniagaan Huluan sambil memajukan usaha dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Seiring ulang tahun yang ke-50, keutamaan Kumpulan kekal tertumpu memastikan pencapaian tenaga dan memupuk kerjasama berterusan dengan pihak berkepentingan bagi menjaga kepentingan negara serta menyokong usaha pembangunan negara.

Rujukan

Klik di sini untuk melihat Laporan Kewangan Kumpulan PETRONAS

Klik di sini untuk melihat Laporan Operasi Kewangan Kumpulan PETRONAS

Rujuk Lampiran untuk Kemampanan & Impak Sosial dan Sorotan Operasi

(Dari kiri) Mohd Jukris Abdul Wahab, Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Huluan; Liza Mustapha, Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan; Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Datuk Adif Zulkifli, Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Perniagaan Maritim.
Left footer graphic with PETRONAS Dots Right footer graphic with PETRONAS Dots